SARAWAK INGIN TIRU KEJAYAAN EMIRATES AIRLINE - ABANG JO 

Tan Sri Abang Johari Tun Openg
16/12/2023 03:26 PM

MIRI, 16 Dis (Bernama) -- Sarawak ingin meniru kejayaan syarikat penerbangan berpangkalan di Dubai, Emirates Airline dalam misinya untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata syarikat penerbangan berkenaan yang ditubuhkan pada tahun 1980-an merupakan suatu bentuk pelaburan oleh kerajaan Dubai yang membuka peluang aktiviti ekonom secara menyeluruh di rantau tersebut.

"Emirates juga menawarkan tambang yang sangat kompetitif dan jika anda fikir, bagaimana mereka akan mengaut keuntungan? ... Tetapi itu adalah sebahagian daripada pelaburan mereka.

"Kita boleh lihat hari ini Dubai telah menjadi pusat dan sebagai titik perhubungan di Timur Tengah. Sejak 30 tahun yang lalu Dubai hanyalah sebuah padang pasir tanpa apa-apa, tetapi kini ia telah berkembang," katanya dalam ucapan semasa upacara pembukaan hotel Mercure di sini, hari ini.

Pada 23 Nov, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil berkata kerajaan Sarawak kini  sedang menjalankan proses penilaian wajar terhadap MASWings Sdn Bhd sebagai persediaan untuk pengambilalihan.

Perbincangan juga sedang berlangsung dengan Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) dan Khazanah Nasional Berhad untuk pemerolehan saham dalam MASWings.

Abang Johari berkata apabila kerajaan negeri buat julung kali mengumumkan hasrat untuk mengambil alih MASWings, sesetengah pihak berasa ragu-ragu  mengenai perkara itu.

"Ada pihak ragu-ragu sama ada kita boleh menguruskannya atau tidak...Tetapi saya katakan kepada anda bahawa ini adalah suatu pelaburan dan kita tidak perlu tanya apa pulangan yang akan diperoleh kelak.

"Untuk mengukur kejayaan pengambilalihan itu, ia sepatutnya berdasarkan kepada KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) negeri kerana apabila orang datang, mereka akan membelanjakan wang dan seterusnya ekonomi akan berkembang, dan di situlah sepatutnya pengukuran kejayaan kita," tambah beliau.

-- BERNAMA