LANTIKAN FADILLAH BANTU KUKUHKAN AGENDA PERALIHAN TENAGA SARAWAK

Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
13/12/2023 03:52 PM

KUCHING, 13 Dis (Bernama) -- Pelantikan Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam dilihat mampu memperkukuh lagi usaha Sarawak dalam agenda peralihan tenaga.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pemilihan Fadillah bagi menerajui kementerian baharu itu juga merupakan pengiktirafan buat Sarawak yang berada di barisan hadapan dalam melaksanakan agenda peralihan tenaga berbanding negeri lain. 

“Mungkin Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) melihat negeri ini begitu jauh ke hadapan dalam agenda peralihan tenaga dan memberikan portfolio itu kepada Fadillah,” katanya dalam satu sidang media mengenai Sambutan Tahun Baru 2024 di sini hari ini.

Semalam, Anwar mengumumkan Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri diberi portfolio baharu dalam rombakan Kabinet bagi menerajui Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta bertanggungjawab terhadap hal ehwal Sabah dan Sarawak.

Anwar berkata Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam adalah kementerian baharu pecahan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Sementara itu, Abdul Karim berkata sambutan ambang tahun baharu peringkat Sarawak akan berlangsung pada 31 Dis ini di Tebingan Kuching dan bakal disempurnakan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya pelbagai acara menarik bakal diadakan pada hari itu termasuk persembahan artis popular tanah air seperti Datuk Amy Search dan Datuk Zainal Abidin, selain turut diadakan perasmian tiang bendera tertinggi di Malaysia.  

-- BERNAMA