ABANG JOHARI MAHU PELABURAN KALIS CABARAN MASA DEPAN UNTUK TENAGA HIJAU DI SARAWAK

Credit: Unit Komunikasi Awam Sarawak
09/12/2023 11:27 AM

KUCHING, 9 Dis (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg meminta pelabur antarabangsa yang mahu menanam modal di negeri itu memastikan usaha mereka mengambil kira tenaga hijau dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata sektor tenaga hijau perlu kalis cabaran masa depan bagi mendepani perkembangan pada peringkat global memandangkan ia penting kepada pertumbuhan ekonomi dunia.

“Kami (kerajaan Sarawak) akan mengutamakan pelaburan yang memberi tumpuan kepada teknologi hijau yang bersih yang akan mewujudkan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan daripada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) yang memetik ucaptamanya semasa perasmian program MINTRED Connects@London 2023 di sebuah hotel terkemuka di London, United Kingdom (UK) pada Jumaat.

MINTRED Connects@London 2023 merupakan program promosi anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak untuk menarik minat pelabur antarabangsa meneroka peluang perniagaan di negeri itu.

Abang Johari berkata dasar kerajaan Sarawak adalah jelas untuk mempromosikan tenaga hijau menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 untuk menjadi destinasi pilihan pelaburan asing.

Katanya pelabur asing dipelawa untuk memberi nilai tambah kepada tenaga hijau dengan memulakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke arah peralihan kepada tenaga bersih.

“Pada masa sama, kami sedang meneroka nilai tambah sumber tenaga bersih dalam bidang pengeluaran hidrogen serta bahan api penerbangan mampan menggunakan mikroalga,” katanya.

Pada majlis itu, Abang Johari menyaksikan pemeteraian empat Memorandum Persefahaman (MoU) dalam pelaburan, pelancongan, seni dan pengedaran produk yang akan menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih baik antara Sarawak dan UK.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK Datuk Zakri Jaafar dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak.

-- BERNAMA