SEGERA LAPOR JIKA LIHAT PERKARA MENCURIGAKAN LIBATKAN KANAK-KANAK - NANCY

Datuk Seri Nancy Shukri
04/12/2023 01:31 PM

KUCHING, 4 Dis (Bernama) -- Guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan masyarakat setempat perlu segera melaporkan kepada polis sekiranya melihat perkara mencurigakan melibatkan kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri berkata tindakan itu adalah untuk mengekang peningkatan kes penderaan dan pengabaian  terhadap kanak-kanak.

“Sebagai guru dan juga ahli masyarakat perlu sentiasa bertanggungjawab serta amanah dalam tugas masing-masing, ditambah lagi dengan kepekaan semua dalam isu kanak-kanak.

“Jika melihat sesuatu yang mencurigakan, laporkan segera kepada polis atau Talian Kasih di 15999. Jangan hanya rakam video untuk media sosial, tapi laporkan kepada kami,” katanya ketika berucap pada Program Advokasi Kanak-kanak di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Samariang di sini hari ini.

Nancy berkata kanak-kanak mempunyai empat hak utama iaitu hak untuk hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan dan jika mana-mana hak itu tidak diberikan, mereka berhak untuk bersuara serta meminta bantuan daripada orang dewasa.

“Kalau anak-anak rasa tak pasti, kalau anak-anak rasa tak berani, jangan malu dan jangan takut nak minta tolong. Boleh hubungi talian 15999,” katanya.

Nancy berkata tahun depan, kementeriannya menyasarkan program advokasi itu dianjurkan di 300 buah sekolah terpilih di seluruh Malaysia agar kanak-kanak tahu mengenai hak mereka.

Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak adalah usaha berterusan KPWKM dalam mengerakkan masyarakat agar bersama melindungi dan membina persekitaran selamat untuk kanak-kanak.

Program advokasi itu juga adalah platform kepada masyarakat setempat khususnya guru-guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan komuniti setempat untuk membantu KPWKM mencegah berlakunya peningkatan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

-- BERNAMA