PEMBINAAN LEBUHRAYA PAN BORNEO : SATU PROSES PEMBELAJARAN - ABANG JOHARI

Pan Borneo Highway Sarawak fb
04/12/2023 12:07 AM

KUCHING, 3 Dis (Bernama) -- Pembangunan Lebuhraya Pan Borneo telah menjadi sebagai satu proses pembelajaran untuk kerajaan Sarawak dalam merancang pembangunan infrastruktur lain di negeri itu.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pelaksanaan projek lebih RM16 bilion itu, telah membolehkan kerajaan negeri untuk membina jalan jajaran pantai, dan juga jalan utama yang akan bersambung ke lebuh raya itu.

“Saya rasa projek ini bukan sahaja merancakkan pembangunan kita, tetapi menjadi learning curve untuk melaksanakan projek-projek yang besar di Sarawak,” katanya di majlis makan malam Impian menjadi Realiti Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak,” di sini malam ini.

Sebagai tambahan, kerajaan negeri merancang untuk membina jalan utama sepanjang 145 kilometer ke Marudi, satu kawasan pendalaman di Bahagian Miri dengan Long Terawan dan Taman Negara Mulu.

Abang Johari berkata Long Terawan juga akan bersambung hingga ke Gunung Buda di Bahagian Limbang dan jalan ini akan bersambung ke lebuh raya pantai utara, yang telah dirancang di bahagian itu.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Ketua Menteri kelima Sarawak, mahukan Lebuhraya Pan Borneo sebagai sebuah lebuh raya tanpa tol, namun perlu setaraf dengan lebuh raya di Semenanjuang Malaysia.

Beliau berkata Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara, telah bersetuju dengan Adenan dan projek tersebut pembinaannya telah diberikan peruntukan sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam ucapannya berkata jajaran lebuh raya Pan Borneo di Sarawak, kini telah mencapai 98 peratus siap.

Beliau berkata 19 daripada 23 seksyen daripada kerja lebuh raya itu telah disiapkan, dengan seksyen lain akan disiapkan secara berperingkat pada suku pertama tahun hadapan.

-- BERNAMA