PENGAMBILALIHAN MASWINGS PELABURAN INFRASTRUKTUR BAGI SARAWAK - ABANG JOHARI 

Tan Sri Abang Johari Tun Openg
29/11/2023 07:42 PM

KUCHING, 29 Nov (Bernama) -- Kerajaan Sarawak menyamakan pengambilalihan MASwings Sdn Bhd, yang kini anak syarikat Malaysia Airlines Berhad (MAB), sebagai pelaburan dalam pembangunan infrastruktur negeri.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sebaik sahaja ia menjadi syarikat penerbangan milik Sarawak, MASwings akan dapat menyediakan perkhidmatan udara penting yang lebih terjamin walaupun di laluan yang kurang menguntungkan.

“Oleh itu, ia bukan bermotifkan keuntungan, sebaliknya penting untuk melengkapkan rangkaian pengangkutan dan logistik kita dalam perhubungan udara di dalam Sarawak dan rantau ini pada harga yang berpatutan,” katanya ketika menggulung perbahasan untuk belanjawan 2024 Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan untuk memperoleh MASwings adalah langkah berani yang diambil oleh kerajaan negeri, kerana mengetahui pengangkutan udara memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial Sarawak.

“Perjalanan udara, menghubungkan dan menyediakan mod pengangkutan yang pantas dan cekap di dalam Sarawak, dengan bahagian lain di Malaysia, rantau Asia dan seluruh dunia untuk aktiviti perniagaan dan pelancongan,” katanya.

-- BERNAMA