SARAWAK SASAR EMPAT JUTA PELAWAT PADA 2024

28/11/2023 01:37 PM

KUCHING, 28 Nov (Bernama) -- Sarawak dijangka menerima empat juta pelawat dengan anggaran hasil RM9.76 bilion tahun depan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sasaran itu berikutan trend ketibaan pelawat ke negeri itu yang menggalakkan tahun ini.

“Kementerian saya mengunjurkan ketibaan tiga juta pengunjung dengan hasil sebanyak RM7.6 bilion pada 2023. Bagaimanapun sehingga Oktober, Sarawak telah menerima 3.18 juta pengunjung.

“Hasil pelancongan berjumlah RM8.07 bilion yang menyumbang kira-kira 5.75 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak,” katanya ketika menggulung perbahasan untuk kementerian di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Abdul Karim berkata industri pelancongan pasca COVID-19 di Sarawak dijangka berkembang secara eksponen sepadan dengan tanda-tanda pertumbuhan positif dalam senario pelancongan global.

Beliau berkata Sarawak menjangka ketibaan pelawat pulih sepenuhnya ke tahap prapandemik menjelang 2025.

“Memandangkan Sarawak menceburi usaha baharu terutamanya dengan pemerolehan MASWing, pembangunan tarikan pelancongan dijangka lengkap pada masa itu dan saya yakin pelancongan akan berkembang dan menjadi antara pemacu utama kepada pertumbuhan KDNK Sarawak serta mengekalkan status pendapatan tinggi,” katanya.

Sementara itu, Abdul Karim berkata taman negara dan alam semula jadi di Sarawak terus menjadi destinasi paling digemari oleh pengunjung dalam dan luar negara.

Beliau berkata setakat Oktober tahun ini, seramai 426,925 pengunjung telah ke 25 taman negara yang dibuka untuk pelawat, dengan 319,931 pelawat domestik dan 106,994 pelawat asing.

-- BERNAMA