DAKWAAN PENGECUALIAN LAGU ADALAH SALAH FAHAM - PENGANJUR

TVS fb
24/11/2023 07:44 PM

KUCHING, 24 Nov (Bernama) -- Salah faham dalam kalangan pihak yang terlibat pada program Krismas telah menimbulkan dakwaan pengecualian lagu ‘O Holy Night'.

TV Sarawak (TVS) dan Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihak penganjur tidak berniat untuk mengecualikan lagu berkenaan daripada program itu.

“Sebenarnya penganjur sedang berusaha untuk memasukkan lagu itu (dalam program) dan sedang giat menyediakan semua elemen yang diperlukan untuk persembahan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut TVS dan UNIFOR, matlamat utama program berkenaan ialah mempersembahkan acara muzikal bertemakan karol Krismas, yang menampilkan 1,500 orang peserta.

Program turut bertujuan mempamerkan perpaduan dalam kepelbagaian kaum Sarawak merangkumi pelbagai perbezaan kaum, agama dan budaya.

“Kami ingin memberi jaminan kepada semua pihak bahawa penerbitan program ini yang dijadual pada 3 Dis ini akan diteruskan seperti yang dirancang dan disiarkan menerusi TVS pada 23 Dis depan,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, dilaporkan Persatuan Gereja-gereja Sarawak (ACS) akan menarik diri daripada satu program Krismas selepas pihak penganjur dikatakan menolak permohonan mereka untuk menukar lagu ‘Jingle Bell Rock’ kepada ‘O Holy Night’.

-- BERNAMA