1,571 KEKOSONGAN JAWATAN GURU DI SARAWAK AKAN DIISI TAHUN DEPAN

Dr Annuar Rapa’ee
24/11/2023 01:42 PM

KUCHING, 24 Nov (Bernama) -- Sebanyak 1,571 kekosongan jawatan guru sekolah rendah dan menengah di Sarawak akan diisi tahun depan, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata kekosongan 819 jawatan guru sekolah menengah dan 752 jawatan guru sekolah rendah masing-masing akan diisi menjelang Februari dan Jun 2024.

"Isu kekurangan guru di Sarawak mesti diselesaikan secepat mungkin. Setakat 30 Sept, kekurangan guru berjumlah 3,076 iaitu 819 untuk sekolah menengah, manakala 2,257 bagi sekolah rendah," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Wilfred Yap Yau Sin (GPS-Kota Sentosa) mengenai strategi kerajaan negeri untuk menangani masalah kekurangan guru.

Dr Annuar berkata selain ketibaan guru baharu tahun depan, kementerian juga mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan berhubung pengambilan siswazah bukan guru sebagai guru kontrak.

-- BERNAMA