BOEING 737-8 MAG TERBAHARU BUAT PENERBANGAN PERTAMA KE KOTA KINABALU HARI INI

Boeing 737-8 
20/11/2023 04:31 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Pesawat Boeing 737-8 baharu Malaysia Aviation Group (MAG) akan membuat penerbangan komersial pertamanya ke Kota Kinabalu hari ini melalui penerbangan Malaysia Airlines MH2640, yang berlepas dari Kuala Lumpur pada 3:40 petang. 

MAG, syarikat induk syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines telah mengadakan majlis pelancaran awal hari ini bagi memperingati ketibaan pesawat baharu itu.

Pengerusi Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata kemasukan Boeing 737-8 baharu itu akan membolehkan MAG meningkatkan pengalaman pelanggan, kecekapan operasi serta bahan api, selain memenuhi keperluan pertumbuhan rangkaian masa hadapan untuk menyokong visinya bagi syarikat penerbangan nasional tersebut.

“Kemasukan 737-8 dalam armada kami lebih penting daripada sekadar memperbaharui pesawat-pesawat lama kami. 

“Ia bertindak sebagai penghubung yang bermakna, menjalinkan sejarah kami dengan era baharu, sejajar dengan matlamat Rancangan Perniagaan Jangka Panjang 2.0 kami sambil kami berusaha ke arah menjadi kumpulan perkhidmatan perjalanan dan penerbangan terkemuka di Asia,” katanya. 

MAG mempunyai tempahan dalam tangan sebanyak 25 pesawat 737-8 melalui pajakan dengan Air Lease Corporation (ALC), yang akan dihantar secara progresif sehingga 2026.

Pesawat itu akan memberi perkhidmatan kepada destinasi domestik di seluruh Malaysia sebelum berkembang ke rangkaian lain di seluruh Asean dan Asia apabila lebih banyak jenis pesawat itu memasuki perkhidmatan.

Kumpulan itu berkata model berkenaan akan menampilkan hiburan tanpa wayar tercanggih, yang mampu mempamerkan pelbagai jenis kandungan yang ditetapkan untuk meningkatkan paradigma hiburan dalam penerbangan dengan menyediakan penumpang pilihan yang mencukupi. 

Sama dengan pesawat Boeing 737-800 NG yang diperbaharui, 737-8 akan menawarkan konfigurasi tempat duduk yang serupa yang terdiri daripada 12 tempat duduk dalam Kelas Perniagaan dan 162 tempat duduk dalam Kelas Ekonomi. 

MAG menjelaskan lagi. sebagai sebahagian daripada strategi sambungannya yang lebih luas, buat pertama kali, Malaysia Airlines akan memperkenalkan sambungan internet berkualiti tinggi dalam pesawat berbadan sempit, membolehkan pelanggan kekal berhubung sepanjang penerbangan mereka.

— BERNAMA