BERITA GEMBIRA BUAT RAKYAT SARAWAK DALAM BELANJAWAN 2024 - ABANG JOHARI

Sarawakku fb
17/11/2023 11:27 PM

KUCHING, 17 Nov (Bernama) -- Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan Belanjawan Negeri 2024 yang akan dibentangkannya Isnin depan, bakal memberi khabar gembira kepada rakyat di negeri itu.

Beliau berkata kerajaan negeri berjaya menambah hasil untuk digunakan buat rakyat di Sarawak.

"Tunggu sahaja belanjawan pada Isnin. Saya akan berikan anda beberapa berita baik untuk manfaat rakyat Sarawak," katanya pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun ke-15 Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) di sini malam ini.

Beliau berkata berikutan peruntukan terhad daripada kerajaan Persekutuan, peningkatan hasil yang diperoleh negeri sejak 2017 membolehkan kerajaan negeri membiayai pembangunan dalam SCORE.

"Kadang-kadang bajetnya (daripada kerajaan Persekutuan) tidaklah begitu banyak jika dibandingkan dengan saiz Sarawak, syukur kepada tuhan kita berjaya menambah pendapatan dan memberi semula kepada rakyat," katanya.

Abang Johari berkata sebagai strategi untuk membangunkan seluruh Sarawak hingga 2030, beliau telah menubuhkan sembilan agensi wilayah dengan jumlah peruntukan awal sebanyak RM13.5 bilion untuk agensi berkenaan melaksanakan program pembangunan.

Beliau berkata penubuhan agensi itu membolehkan program pembangunan kerajaan negeri lebih fokus dan berjiwa rakyat.

"Projek mesti datang daripada rakyat melalui pemimpin mereka, YB (Yang Berhormat) dan mereka boleh bekerjasama dan mengenal pasti projek yang akan diberi keutamaan,” katanya.

Abang Johari juga menghargai keputusan kerajaan Persekutuan yang membenarkan Sarawak mengambil alih Pelabuhan Bintulu yang akan menjadi langkah strategik untuk meningkatkan kedudukan negeri sebagai pengeluar sumber tenaga boleh diperbaharui terkemuka.

"Jadi, apa yang kerajaan sedang lakukan ialah meningkatkan pengeluaran tenaga hijau, menambah sumber tenaga boleh diperbaharui dan mempelbagaikan sumber tenaga," katanya.

-- BERNAMA