YBR SALUR BANTUAN RM100,000 KEPADA PELAJAR B40 UNIMAS

17/11/2023 09:44 PM

KUCHING, 17 Nov (Bernama) -- Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan Bantuan Awal Pengajian (BAP) berjumlah RM100,000 kepada 100 pelajar B40 Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bagi meneruskan pengajian.

YBR dalam kenyataan hari ini berkata inisiatif berkenaan melibatkan pelajar semester satu hingga tiga peringkat diploma dan ijazah sarjana muda yang dikenal pasti Jabatan Hal Ehwal Pelajar Unimas dengan peruntukan RM1,000 seorang. 

“Diharapkan dengan pemberian insentif ini sedikit sebanyak membantu pelajar meneruskan sesi pengajian dan secara tidak langsung memberi semangat serta motivasi bagi mencapai keputusan yang cemerlang.

“Setiap pelajar yang menerima insentif kewangan pada hari ini boleh menggunakan bantuan tersebut untuk membeli kelengkapan pembelajaran yang belum mencukupi," kata Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR Rosaline Neging dalam kenyataan itu. 

Kenyataan itu turut memaklumkan YBR menerusi Perpustakaan Digital Serambi Ilmu Rakyat atau dikenali sebagai 'SIR Corner' dengan kerjasama Unimas telah menyumbangkan set kelengkapan 'SIR Corner' kepada Perpustakaan Tun Abdul Rahman Ya’kub (PeTARY). 

Usaha berkenaan bagi membantu pelajar universiti itu mendapatkan maklumat terkini serta bahan ilmiah secara digital, sekali gus menjadikan Unimas sebagai universiti pertama di Sarawak mempunyai sudut bacaan sedemikian. 

“Inisiatif memartabatkan mutu pendidikan seharusnya diberi penekanan melalui suasana pembelajaran di universiti dengan sumber yang mencukupi serta mudah untuk mengakses maklumat,” katanya. 

-- BERNAMA