ONN HAFIZ BANGKITKAN ISU KRISIS KEMANUSIAAN DI GAZA DI PLATFORM PBB

13/11/2023 05:40 PM

JOHOR BAHRU, 13 Nov (Bernama) -- Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini mengambil peluang untuk membangkitkan isu mengenai krisis kemanusiaan dan tragedi yang sedang berlaku di Semenanjung Gaza di sebuah platform Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini.

Bercakap pada Minggu Iklim Asia Pasifik (APCW) 2023 yang bermula hari ini, beliau meminta para peserta acara itu untuk bertafakur sejenak dan mengenang tragedi serta pembunuhan beramai-ramai yang menimpa rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

"Apa yang berlaku kepada mereka adalah satu titik hitam terhadap perikemanusiaan. Saya ingin merayu kepada audiens antarabangsa yang berfikiran rasional ini untuk berpihak kepada kasih sayang, belas ihsan dan keadilan.

"Seluruh dunia harus mengusahakan gencatan senjata di Gaza dan menoktahkan kematian serta penderitaan begitu ramai penduduk baik lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa,” katanya semasa majlis pelancaran Pusat Kelestarian Johor (JSC) dan Johor Green Deal di APCW 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

Onn Hafiz juga berkata langkah segera yang ingin diambil oleh negara di seluruh dunia bagi memerangi perubahan iklim hendaklah diguna pakai dalam menyelesaikan tragedi yang menimpa rakyat Palestin. 

"Kita memerlukan tenaga, semangat dan komitmen yang sama untuk menyelesaikan krisis kemanusiaan ini. Sama seperti perubahan iklim, ia juga adalah isu kewujudan generasi kita. 

“Justeru, kita perlu bertindak atas nama kemanusiaan. Kita perlu bertindak demi kesejahteraan sesama manusia. Kita perlu bertindak demi generasi masa hadapan kita," katanya.

Pertempuran di Palestin yang membabitkan Hamas iaitu pihak yang berkuasa di Gaza, dan rejim Israel telah memasuki hari ke-38 hari ini serta meragut beribu-ribu nyawa di kedua-dua belah pihak.

-- BERNAMA