SARAWAK BAKAL TERIMA OPV 1 HUJUNG BULAN INI

04/11/2023 04:28 PM

KUCHING, 4 Nov (Bernama) -- Sarawak bakal menerima sebuah Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV 1) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hujung bulan ini sebagai usaha mempertingkatkan kawalan penguatkuasaan perairan negara, khususnya di wilayah Borneo. 

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata selain itu, dua Kapal Maritim (KM) iaitu KM Marudu dan KM Kimanis akan turut digerakkan ke Sarawak hujung tahun ini. 

“Kita dijangka menerima OPV 1 pada 27 Nov ini, jadi kita memang rancang untuk atur gerak aset OPV ini ke Sarawak, berpangkalan di Kuching dan diletakkan di bawah APMM Sarawak. 

“Ini untuk mencapai objektif kita dalam menentukan keselamatan dan kesiapsiagaan terutamanya di perairan Sarawak kerana perairan negeri kaya dengan sumber petroleum dan perikanan,” katanya dalam sidang media pada Majlis Penutupan Eksesais Maritim Perkasa Timur 2/2023 di Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak (KOMTAS) hari ini. 

Hamid berkata buat masa ini, APMM telah menggerakkan dua kapal iaitu KM Marlin dan KM Tegas ke Sarawak bagi tujuan yang sama serta kesiapsiagaan aset agensi itu menjelang Monsun Timur Laut (MTL).

“Seterusnya, kita akan menerima dua lagi kapal peronda PV (petrol vessel) daripada pasukan sahabat, maknanya dari luar negara pada awal tahun hadapan, kita merancang untuk atur gerak satu daripadanya ke Sarawak,” katanya. 

Mengulas lanjut mengenai eksesais, Hamid berkata ia dilaksanakan bertujuan kesiapsiagaan pegawai dan anggota APMM bagi menghadapi sebarang situasi ancaman maritim dengan memberi fokus pada Laut China Selatan di pantai barat Sabah dan Sarawak.

Sejumlah 652 pegawai dan anggota APMM dengan kekuatan 14 kapal terlibat dalam eksesais selama seminggu dari 28 Okt hingga hari ini, dengan lokasi bermula dari Kota Kinabalu, Sabah hingga Kuching.

-- BERNAMA