PRK JEPAK: ELAK MENGUNDI PADA SAAT-SAAT AKHIR - SPR

Datuk Ikmalrudin Ishak (File pix)
03/11/2023 12:19 PM

BINTULU, 3 Nov (Bernama) -- Pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak dinasihatkan agar tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir, esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata pengundi digalakkan keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

Beliau berkata meskipun pengundi dinasihatkan keluar mengundi mengikut masa digalakkan, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari 7.30 pagi hingga 5.30 petang atau mengikut waktu pusat mengundi diwartakan.

Maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pengundi boleh disemak melalui portal https://mysprsemak.spr.gov.my atau boleh menghubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

“Pengundi juga diingatkan agar tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Ikmalrudin turut mengingatkan bahawa penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi (saluran) adalah dilarang dan pengundi yang membawa barangan itu perlu meletakkan di tempat disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi.

Semua pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi dilarang memakai baju/topi/ pelitup muka atau membawa material mempunyai nama lambang/simbol/gambar parti atau calon bertanding atau apa-apa bahan kempen serta sebarang slogan kempen menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

"SPR juga mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen tamat pada 11.59 minit malam, 3 Nov (Jumaat)," katanya.

Selepas tempoh itu, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi seperti di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, X dan Instagram.

Beliau berkata bagi PRK itu, 14 pusat mengundi dan 45 saluran akan dibuka untuk tujuan pengundian dan seramai 446 petugas akan terlibat bagi proses pengundian tersebut.

PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Iskandar Turkee, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.

PRK DUN Jepak diadakan susulan kematian penyandang kerusi berkenaan Datuk Talib Zulpilip pada 15 Sept lepas. DUN Jepak mempunyai 22,804 pemilih yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis. 

-- BERNAMA