SARAWAK PENERAJU DALAM MENANGANI PERUBAHAN IKLIM - ABANG JOHARI

03/10/2023 07:48 PM

KUCHING, 3 Okt (Bernama) -- Sarawak mendahului negeri lain di Malaysia dan di Asia Tenggara dalam menangani perubahan iklim global selaras dengan Perjanjian Paris 2015.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ia berjaya dilakukan menerusi pelan peralihan tenaga negeri ini yang berani dan sistematik.

“Kita adalah wilayah peneraju dalam menghasilkan tenaga boleh diperbaharui yang bersih, dengan pada masa ini kira-kira 70 peratus tenaga kita adalah daripada kuasa hidro.

“Kita komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 60 peratus gabungan kapasiti tenaga boleh diperbaharui dengan kuasa hidro,” katanya ketika menutup Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia 2023: Wilayah Sarawak yang berlangsung dua hari, di sini hari ini.

Abang Johari berkata kuasa hidro memberikan negeri itu pilihan tenaga boleh diperbaharui mampan yang mampu mengurangkan pelepasan karbon bagi sistem penjanaan kuasanya sebanyak 73 peratus iaitu antara 2020 dan 2021, sekali gus menyumbang kepada komitmen sifar bersih karbon dan kemampanan Sarawak.

“Dengan memanfaatkan kuasa hidro boleh diperbaharui telah membolehkan kita meneroka pengeluaran hidrogen hijau dan solar terapung skala utiliti,” katanya. 

Menurutnya menerusi kepimpinan kerajaan negeri, beliau akan memastikan Sarawak terus menerajui Agenda Ekonomi Hijau di rantau ini bagi pembangunan mampan seiring dengan inisiatif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan SDG. 

-- BERNAMA