PENCALONAN PELAN DELTA SARAWAK SEBAGAI GEOPARK UNESCO DIBENTANG BULAN INI 

03/10/2023 03:07 PM

KUCHING, 3 Okt (Bernama) -- Pencalonan Pelan Hala Tuju Delta Sarawak sebagai Geopark Global Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) akan dibentangkan ke Jawatankuasa Geopark Kebangsaan, bulan ini.

Pengarah Hutan Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kumpulan Kerja Warisan dan Pemuliharaan Saintifik Sarawak Datuk Hamden Mohammad berkata pelan hala tuju dikenali sebagai “Aspiring Sarawak Delta UNESCO Global Geopark” itu dibincangkan dalam satu bengkel antara agensi berkaitan bermula hari ini, di sini.

“Bengkel bersama kumpulan pakar selama dua hari ini akan menghasilkan pelan hala tuju secara terperinci bagi persediaan Aspiring Sarawak Delta UNESCO Global Geopark,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya bengkel itu dibimbing oleh kumpulan pakar geopark global dan kebangsaan diketuai Naib Presiden Global Geoparks Network Association (GGN) Prof Emeritus Datuk Ibrahim Komoo.

Turut terlibat, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan Prof Dr Che Aziz Ali, Pensyarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Tanot Unjah dan Timbalan Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Kelantan Dr Dana Badang.

-- LAGI

 

SARAWAK-GEOPARK UNESCO 2 (AKHIR) KUCHING

 

Hamden berkata bengkel berkenaan akan menyusun perancangan geopark yang merangkumi matlamat, visi dan objektif, pelan pemeliharaan sumber semula jadi, pelan pendidikan awam, aktiviti pelancongan serta pemeliharaan budaya dan sejarah.

Katanya persediaan bagi pencalonan ini adalah usaha yang penting dan memerlukan perancangan teliti bagi memenuhi dan mematuhi syarat-syarat serta standard yang ditetapkan oleh UNESCO. 

“Bagi mencapai status Geopark Global UNESCO ia memerlukan usaha berterusan dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak termasuk komuniti setempat, kerajaan dan pelbagai pihak berkepentingan,” tambahnya. 

Kawasan Delta Sarawak yang terletak di selatan negeri itu diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang keenam di bawah Program Pembangunan Geopark Kebangsaan pada 20 Jun tahun lepas.

Berkeluasan 3,112 km persegi, Geopark Kebangsaan Delta Sarawak kaya dengan keunikan landskap batuan (28 geotapak), kepelbagaian biologi (12 biotapak) dan budaya (14 tapak budaya).

-- BERNAMA

 

TAG: Hamden Mohammad, Delta Sarawak, Geopark Global, UNESCO


HI HI RAM