PENDIDIKAN UNIVERSITI PERCUMA DI SARAWAK BERMULA 2026 – ABANG JOHARI

Sarawak Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg (File pix)
01/10/2023 02:31 PM

SIMANGGANG, 1 Okt (Bernama) -- Pendidikan percuma peringkat universiti dan pusat pengajian tinggi milik kerajaan Sarawak untuk anak jati negeri itu dijangka dapat dilaksanakan pada 2026, kata Premiernya Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata unjuran pendapatan tahunan Sarawak yang terus menunjukkan peningkatan sejak 2020 telah memberikan keyakinan kepada beliau untuk menetapkan jangkaan itu dimulakan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) oleh kerajaan negeri.

“Saya boleh katakan 2026 (untuk menyediakan pendidikan universiti percuma) sebab saya telah congak-congak kekuatan ekonomi kita akan lebih kuat pada 2026. Kalau 2022 pendapatan negeri dah bertambah hingga (RM)12 bilion, pengiraan (saya) tahun ini kemungkinan kita memecahkan rekod (pendapatan) 2022,” katanya.

Berucap pada majlis penutupan Pesta Benak Edisi ke-20 di sini hari ini, beliau berkata hasrat menyediakan pendidikan peringkat tinggi percuma ini adalah untuk memastikan lebih ramai lagi anak Sarawak berkelayakan dan berkemampuan menggunakan teknologi baharu untuk memacu pembangunan negeri ini.

“Kita sudah ada sovereign fund (dana berdaulat) untuk masa depan kita dan bakinya akan kita tumpukan kepada pendidikan anak kita dan juga memantapkan ekonomi kita dan juga kita membangunkan lagi infrastruktur kita,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata satu kawasan antara bahagian Samarahan dan Sri Aman telah dikenal pasti untuk pelaksanaan penanaman padi berskala besar menggunakan teknologi terkini.

Beliau berkata langkah itu juga merupakan pendekatan jangka panjang bagi memastikan Sarawak tidak menghadapi masalah kekurangan bekalan beras tempatan seperti yang berlaku di tempat lain di negara ini.

“Kita (kerajaan Sarawak) sudah ada dasar mengeluarkan beras menggunakan teknologi baru, anak benih baru. (Kita tidak mahu) apabila beras dah kurang (bekalan berkurangan) barulah nak berkira (untuk mengadakan dasar pengeluaran beras),” katanya.

Menyentuh mengenai penganjuran Pesta Benak itu yang berlangsung sejak 29 Sept, beliau berkata peningkatan jumlah pengunjung ke acara itu menggambarkan kepesatan perkembangan pelancongan domestik di Sarawak.

Menurutnya pesta ini mampu menarik lebih ramai lagi pengunjung pada masa hadapan sekiranya penganjur dapat mempelbagaikan lagi aktiviti yang dijalankan yang seterusnya dapat menjana pendapatan masyarakat setempat.

-- BERNAMA