HANTARAN MENGHASUT: POLIS SARAWAK KESAN PEMILIK AKAUN FACEBOOK

29/09/2023 04:47 PM

KUCHING, 29 Sept (Bernama) -- Polis Sarawak sedang mengesan pemilik akaun media sosial Facebook yang mengeluarkan hantaran berunsur hasutan serta berpotensi membakar sentimen perkauman di negeri itu pada 23 Sept lepas.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata pihaknya telah menerima laporan tentang hantaran yang dibuat akaun dengan nama "Engkecong Kampung" itu pada 26 Sept.

“Pada 23 Sept, pemilik akaun terbabit telah membuat hantaran dengan mesej seruan berunsur hasutan dan mengajak semua kaum Dayak berkumpul di Mahkamah Sibu pada 17 Okt.

“Kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.

Sementara itu, Mancha menasihati masyarakat untuk menggunakan media sosial secara berhemah dan tidak mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan yang boleh mengganggu keamanan masyarakat berbilang kaum.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mempunyai tujuan dan niat jahat untuk cuba memecahkan perpaduan rakyat kita yang berbilang bangsa,” katanya. 

-- BERNAMA