KERAJAAN SARAWAK CADANG DANA KHAS BIAYAI PROJEK PERTANIAN PINTAR – ABANG JOHARI

Sarawak Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg delivers his speech when officiating the First International Conference of Biotechnology, Smart Farming and Entrepreneurship for Good Security (BIOSFE 2023) today.
25/09/2023 04:17 PM

KUCHING, 25 Sept (Bernama) -- Kerajaan Sarawak bercadang untuk mewujudkan satu dana khas bagi membiayai projek pertanian pintar yang berjaya dilakukan oleh pihak universiti tempatan bagi meningkatkan pengeluaran industri makanan di negeri ini.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata untuk memulakan pertanian pintar ia memerlukan kos yang tinggi kerana ia melibatkan teknologi yang digunakan.

“Mengambil contoh projek pelajar (Kolej Universiti) ICATS (institusi pengajian tinggi milik kerajaan Sarawak) bersama pensyarah mereka di Kampung Kaba (berdekatan Saratok) yang menghasilkan makanan haiwan daripada biojisim, nampaknya telah berjaya.

“Jadi saya minta mereka kaji teknologi yang berkaitan…kita ada pengeluaran teras. Pelaburan ini melibatkan dana yang banyak serta berisiko, jadi perlu ada modal teroka untuk diberikan kepada pelajar yang memilih bioteknologi sebagai karier mereka selepas tamat belajar…jadi saya dan kerajaan akan cari jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Bioteknologi, Pertanian Pintar, dan Keusahawanan untuk Keselamatan Makanan (BIOSFE 2023).

Berucap pada majlis itu Abang Johari berkata melalui persidangan itu, pelbagai interaksi bermanfaat dapat dibincangkan serta dibentangkan antara pakar serta pihak-pihak berkeutamaan dalam industri.

“Perbincangan meja bulat terdiri daripada pakar-pakar terkemuka, penggubal dasar dan pemain utama diharap akan membawa kepada pandangan berharga mengenai pertanian lestari dan meningkatkan sistem keselamatan makanan, seterusnya menyumbang kepada badan pengetahuan dalam industri pertanian.

“Persidangan ini bertepatan dengan Sarawak Agrofest 2023, yang meraikan dan mempamerkan pencapaian, inovasi dan perkembangan dalam sektor pertanian di Sarawak,” katanya.

-- BERNAMA