DR ANNUAR TERIMA SURAT PENGHARGAAN DARIPADA PENGERUSI MAG

Pix credit: Dr Annuar Rapaee FB
19/09/2023 10:23 PM

SIBU, 19 Sept (Bernama) -- Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee yang menstabilkan seorang penumpang wanita mengalami sesak nafas akibat asma ketika dalam penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur pada 6 Sept lepas, menerima surat penghargaan daripada Pengerusi Malaysia Aviation Group (MAG) Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Wan Zulkiflee yang kagum membaca laporan berita mengenai tindakan pantas Dr Annuar itu, berkata ia satu khidmat cemerlang ditunjukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu yang memberikan bantuan perubatan dalam penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH2521. 

“Bagi pihak Malaysia Aviation Group (MAG) dan seluruh warga Malaysian Airlines, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Datuk yang membantu kru kabin kami dan penumpang ketika situasi kecemasan.

“Kru kami menyanjung tinggi profesionalisme YB Datuk dan berbesar hati dengan kehadiran YB Datuk dalam penerbangan,” katanya dalam surat yang ditandatangani pada 7 Sept.

Wan Zulkiflee berkata tindakan murni pakar kardiologi itu dalam memberikan bantuan perubatan segera berjaya menyelamatkan keadaan sekali gus memastikan penerbangan lancar untuk semua orang dalam pesawat.

Surat tersebut disiarkan di Facebook Dr Annuar hari ini. 

Semasa kejadian, pramugari membuat pengumuman meminta doktor atau kakitangan perubatan yang berada dalam penerbangan MAS MH2521, supaya tampil kerana mereka memerlukan bantuan rawatan perubatan segera.

Dr Annuar telah merawat pesakit tersebut dengan menggunakan inhaler (alat sedut) yang dibawa oleh seorang penumpang lain, namun selepas beberapa kali sedutan pesakit masih mengalami sesak nafas.

Bagaimanapun, pesakit bernasib baik apabila kit kecemasan pesawat MAS dilengkapi dengan nebuliser (penebula) dan selepas pemberian nebuliser, wanita itu tidak lagi mengalami sesak nafas dan berasa lega.

Setelah semuanya selesai, Dr Annuar telah membuat empat salinan laporan perubatan dan bersyukur penumpang wanita tersebut selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. 

-- BERNAMA