KES PENIPUAN SKIM PELABURAN PEMBINAAN HARTANAH, MHO MOHON POLIS JALANKAN SIASATAN

Datuk Hishamuddin Hashim
18/09/2023 02:28 PM

KUCHING, 18 Sept (Bernama) -- Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini menyerahkan sepucuk surat aduan berhubung kes penipuan Skim Pelaburan Pembinaan Hartanah yang berlaku di negeri ini, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata beliau telah bertemu dan menyerahkan sendiri surat terbabit kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri agar tindakan segera dapat diambil supaya tidak ada lagi mangsa yang terpedaya dengan kes penipuan sedemikian.

“Pihak MHO telah menerima lebih 80 aduan daripada pengadu berkenaan permasalahan yang dihadapi oleh mereka.

“Mangsa-mangsa penipuan syarikat ini bukanlah daripada golongan yang senang. Niat mahu mendapatkan rumah sendiri tetapi tidak kesampaian, wang yang digunakan kononnya untuk mendapatkan rumah telah lesap, begitu juga dengan syarikat terbabit,” katanya kepada pemberita di pekarangan IPK Sarawak di sini.

Hishamuddin berkata paling menyedihkan sindiket menyasarkan golongan pedalaman yang miskin dan menghabiskan duit mereka termasuk golongan pesara.

“Syarikat itu memusnahkan harapan mereka (mangsa), menipu warga emas dan lebih menyakitkan hati sekiranya tiada tindakan diambil, sebab itu hari ini kita hadir kerana ingin memohon pihak polis melakukan tindakan undang-undang terhadap penipu-penipu itu.

“MHO bersedia bekerjasama dengan pihak polis untuk menyelesaikan permasalahan kes penipuan terancang ini,” katanya.

-- BERNAMA