PETANI DI DAERAH SONG DIGESAR BERALIH KEPADA PERTANIAN MODEN - ADUN KATIBAS

Lidam Assan
19/08/2023 03:10 PM

KAPIT, 19 Ogos (Bernama) -- Penduduk di daerah Song di sini yang rata-ratanya terdiri daripada golongan petani digesa supaya memajukan lagi aktiviti pertanian mereka, dan mengerjakan ia seumpama satu perniagaan.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Katibas Lidam Assan yang membuat gesaan itu berkata ia bermakna mereka harus beralih kepada pertanian moden yang melibatkan aktiviti hiliran untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi. 

"Kadar kemiskinan di Song adalah enam peratus. Kita tidak ada cara lain untuk mengurangkan lagi angka ini melainkan dengan (penduduk) menceburi bidang perniagaan," katanya ketika ditemui di perasmian Program Jum Regista Bisnes, di Song di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Penasihat Perusahaan Kecil dan Sederhana Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Datuk Mohd Naroden Majais, sebagai wakil kepada Timbalan Premier merangkap Menteri MINTRED Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Program Jum Regista Bisnes (Regista) yang bertujuan membantu para usahawan, peniaga dan penjaja di daerah Song yang tidak memiliki lesen untuk mendaftar dan memiliki lesen perniagaan itu, disertai oleh 200 orang peserta. 

-- BERNAMA