FADILLAH ANTARA PENERIMA PINGAT PERINGATAN JUBLI INTAN KEMERDEKAAN SARAWAK

Photo credit: JaPen
16/08/2023 06:22 PM

KUCHING, 16 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mendahului senarai penerima Pingat Peringatan Jubli Intan bersempena 60 Tahun Sarawak Merdeka dalam majlis penganugerahan yang diadakan di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Fadillah, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, antara 43 penerima Pingat Peringatan Cemerlang Jubli Intan (Emas) yang disampaikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Turut menerima pingat itu bekas Panglima Angkatan Tentera Jen (B) Tun Mohamed Hashim Mohd Ali, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn.

Lima timbalan menteri Persekutuan juga menerima pingat yang sama, terdiri daripada Datuk Rubiah Wang (Kemajuan Desa dan Wilayah), Datuk Hasbi Habibollah (Pengangkutan), Datuk Hanifah Hajar Taib-Alsree (Ekonomi), Datuk Seri Huang Tiong Sii (Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) dan Lukanisman Awang Sauni (Kesihatan).

Pingat peringatan itu turut dianugerahkan kepada dua bekas menteri Persekutuan iaitu Tan Sri Peter Chin Fah Kui dan Tan Sri Dr Muhammad Leo Toyad Abdullah, serta bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Tan Sri Mohd Jamil Johari dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Sulong Matjeraie.

Bekas timbalan menteri Persekutuan Datuk Joseph Salang, penerjun negara Datuk Pandelela Rinong Pamg dan bekas ratu renang Sarawak Tania Bugo antara penerima lain pingat itu.

Sementara itu, 32 individu dianugerahkan Pingat Peringatan Cemerlang Jubli Intan (Perak), antara  mereka Pengerusi Sarawak Energy Berhad Datuk Amar Hamed Sepawi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan bekas Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia Datuk Dr Adi Badiozaman Tuah.

-- BERNAMA