WCIT, IDECS 2023 BERLANGSUNG 4-6 OKT

15/08/2023 09:42 PM

KUCHING, 15 Ogos (Bernama) -- Kongres Inovasi dan Teknologi Dunia (WCIT) edisi ke-27 dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) keenam, atau dikenali sebagai WCIT|IDECS 2023 akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada 4-6 Okt ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata acara itu akan menjadi pemangkin kepada pemecutan pembangunan mampan dan kemakmuran ekonomi untuk perniagaan, komuniti dan negara.

“Gabungan kedua-dua WCIT|IDECS menjadikan acara itu satu platform unik untuk merapatkan jurang dan mencipta peluang bagi membina suatu persekitaran dan ekosistem perniagaan yang dipacu inovasi, teknologi dan kelestarian.

“Bagi pihak kerajaan Sarawak, kami berbangga menganjurkan acara ini, yang meletakkan Sarawak pada peta inovasi dan teknologi global,” katanya pada Majlis Kiraan Detik 50-Hari menjelang WCIT dan IDECS 2023 di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Urus Setia WCIT|IDECS Malseni Jamal berkata sempena acara itu, Sarawak akan turut melancarkan Forum She-Tech Asia buat julung kalinya, memfokuskan kepada golongan wanita dalam industri teknologi.

“Pada masa dunia bergerak ke arah ekonomi pendigitalan yang kian meningkat, memperkasa penglibatan lebih ramai wanita dalam teknologi adalah kunci untuk menggalakkan pertumbuhan berterusan bagi ekonomi dan keterangkuman sosial kita,”

“Keperluan untuk tindakan adalah kritikal dan semua pihak berkepentingan daripada sektor awam dan swasta mesti bekerjasama untuk merapatkan jurang gender dan mewujudkan peluang dan platform saksama bagi wanita memainkan peranan dalam mencapai aspirasi ekonomi digital kita,” katanya.

Bertemakan “Fulfilling the Promise of Digital Age: Innovation and Technology Driving Economic Prosperity, Society Inclusivity and Environmental Sustainability", (memenuhi janji zaman digital: inovasi dan teknologi memacu kemakmuran ekonomi, keterangkuman masyarakat dan kelestarian alam sekitar) WCIT|IDECS 2023 antara lain menganjurkan perbincangan isu-isu menarik dan menyediakan peluang untuk menerokai trend, teknologi dan model perniagaan terkini dalam ekonomi digital.

Lebih 10,000 peserta terdiri daripada pakar industri, pembuat dasar dan usahawan daripada lebih 80 negara bakal mengambil bahagian dalam acara tiga hari itu.

-- BERNAMA