PRN SARAWAK: CALON GPS DIUMUM SELEPAS PENYERAHAN WATIKAH - ABDUL KARIM

Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah
06/11/2026 03:45 PM

KUCHING, 6 Nov (Bernama) -- Senarai calon yang akan mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13 dijangka diumumkan pada majlis penyerahan watikah sebelum hari penamaan calon pada 28 Nov ini.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata keputusan akhir berhubung pemilihan calon terletak di tangan Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata sebahagian besar calon bagi kerusi yang akan ditandingi PBB telah dikenal pasti, namun beberapa kerusi berkemungkinan menyaksikan kemunculan muka baharu.

“Senarai rasmi calon PBB lazimnya hanya diketahui pada hari penyerahan watikah, manakala semua calon mewakili GPS akan menerima watikah sebelum hari penamaan calon,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

GPS dianggotai empat parti komponen iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Dis sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak, manakala penamaan calon pada 28 Nov dan pengundian awal pada 8 Dis.

-- BERNAMA