RIBUAN WARGA SIBU SAKSI PERARAKAN SAMBUTAN ULANG TAHUN KEMERDEKAAN SARAWAK

12/08/2023 11:58 PM

SIBU,12 Ogos (Bernama) -- Ribuan warga Sibu membanjiri Dataran Tun Tuanku Bujang malam ini untuk menyaksikan acara perarakan Sibu Street Parade 2023 yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Sarawak.

Perarakan di sekitar bandar Sibu itu melibatkan penyertaan 60 kontinjen mewakili jabatan kerajaan, badan berkanun dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelbagai kaum, sekolah menengah dan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).

Hadir mewakili Premier Sarawak ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan isteri Datin Seri Zuraini Abdul Jabbar.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.

Selain pertunjukan bunga api, turut diadakan bagi memeriahkan sambutan tersebut ialah persembahan artis-artis jemputan terdiri daripada Hyper Act, Airliftz, Rickie Andrewson, Chien Ng, Ramles Walter dan Kumpulan Acapella.

-- BERNAMA