KEMBARA KRAF BORNEO MOTAC OKTOBER INI - TIMBALAN MENTERI

11/08/2023 07:25 PM

SEMATAN (Sarawak), 11 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengadakan Kembara Kraf Borneo pada Oktober ini di Sabah dan Sarawak dalam usaha mengetengahkan produk kraf di kedua-dua negeri itu.

Timbalan Menterinya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata walaupun kedua-dua negeri itu besar dan memerlukan pendekatan berbeza, beliau yakin program tersebut mampu mencapai kejayaan luar biasa.

“Semestinya usaha ini dilihat mampu mengangkat kraf tempatan dan memberikan manfaat terutamanya kepada  usahawan di bawah kraf negara.

“Saya percaya dengan kembara seni ini kita mampu memberitahu masyarakat di luar sana tentang betapa indah dan uniknya kraf kita di Borneo,” katanya selepas merasmikan Pesta Sematan di sini hari ini.

Khairul Firdaus berkata setelah menggabungkan usahawan kraf di Borneo menerusi kembara tersebut, kementeriannya akan memperhebatkan usaha dari segi promosi agar produk kraf kedua-dua negeri dapat dipasarkan.

“Kita tidak boleh lagi melihat kraf ini sebagai industri kecil, apabila kita sudah selaraskan semua usahawan barulah kita lihat bagaimana kita boleh memperhebatkan pemasaran.

“Kementerian melihat kraf ini sebagai antara cabang penting dalam bidang kemahiran, ia dapat membuka peluang pekerjaan serta menjana pendapatan bukan sahaja kepada usahawan malah negara,” katanya.

Terdahulu semasa berucap di majlis itu, Khairul Firdaus berkata penganjuran Pesta Sematan memberi peluang kepada usahawan kecil dan sederhana setempat meningkatkan ekonomi masing-masing.

Pesta Sematan adalah acara tahunan yang dianjurkan sejak 1995 itu dalam usaha menjadikan kawasan tersebut sebagai destinasi ekopelancongan popular di selatan Sarawak.

-- BERNAMA