JUALAN RAHMAH DICADANG SEMASA SAMBUTAN HARI MALAYSIA 2023 DI SARAWAK

11/08/2023 03:43 PM

KUCHING, 11 Ogos (Bernama) -- Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 bercadang untuk memasukkan program Jualan Rahmah sebagai antara pengisian untuk sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan pada 16 Sept di sini.

Pengerusi jawatankuasa itu yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata program tersebut dicadangkan bertujuan untuk memberi peluang kepada rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan semasa sambutan itu.

Bercakap kepada media selepas membuat tinjauan tapak sambutan itu di Stadium Perpaduan di sini hari ini, beliau berkata pengisian sambutan itu bakal diperincikan lagi dalam mesyuarat jawatankuasa induk di Putrajaya 14 Ogos ini.

“Insya-Allah, minggu hadapan akan ada satu mesyuarat jawatankuasa induk yang akan dipengerusikan bersama oleh Menteri KKD (Fahmi Fadzil) dan juga Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi untuk menjelaskan beberapa perkara penting,” katanya.

Mohamad Fauzi berkata sambutan kali ini akan mementaskan beberapa persembahan yang menggambarkan keakraban tiga wilayah yang membentuk Malaysia yang terdiri dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Menurutnya selain persembahan artis Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), malam sambutan itu akan turut diserikan dengan konsert yang akan menampilkan beberapa artis dari ketiga-tiga wilayah ini serta pertunjukan bunga api.

Menyentuh tinjauannya sebelum itu, Mohamad Fauzi berkata walaupun kerja-kerja pengubahelokan sedang dijalankan di Stadium Perpaduan, ia tidak menghalang persiapan untuk mengadakan acara sambutan di situ.

“Saya difahamkan (kerja-kerja) telah pun diberhentikan (sementara) untuk memberi laluan kepada sambutan Hari Malaysia. Kita tinjau tadi keadaan di stadium dan insya-Allah, semuanya akan bersedia sepenuhnya sempena Hari Malaysia,” tambahnya.

Sementara itu, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dalam kenyataan sebelum ini menyebut Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud akan menjadi tetamu kehormat sambutan itu.

Turut dijangka hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

-- BERNAMA