PETROS DAN SAMLING PEROLEH LESEN PERDAGANGAN KARBON - PREMIER SARAWAK

08/08/2023 06:51 PM

KUCHING, 8 Ogos (Bernama) – Dua lesen bagi tujuan perdagangan karbon telah dikeluarkan di Sarawak setakat ini melibatkan syarikat minyak dan gas milik kerajaan negeri, Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan kumpulan syarikat perkayuan, Samling Group.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Petros mendapat lesen berkenaan bagi tujuan untuk penyimpanan karbon dalam kawasan bekas telaga minyak manakala Samling pula adalah bagi projek karbon kawasan perladangan pokoknya.

“Wakil daripada Petros dan saya akan pergi ke Norway untuk melihat infrastruktur bagaimana penyimpanan karbon di sana. Samling yang mempunyai LPF (Licensed Planted Forest atau Penanaman Hutan Berlesen) sedang memperincikan projek mereka dengan rakan niaga mereka dari Singapura,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvokesyen Sarawak Skills dan Kolej Universiti i-CATS di sini hari ini.

Baru-bari ini,  laporan media menyatakan bahawa Petros diberikan lesen oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak untuk penyimpanan karbon bagi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) asli negeri meliputi kawasan Luconia Utara di luar pesisir Bintulu.

Samling Group memperoleh lesen menerusi anak syarikatnya, SaraCarbon Sdn Bhd bagi menjalankan kajian untuk memulakan projek berasaskan semula jadi karbon dalam kawasan perladangan pokok industrinya di Marudi berdekatan Miri.

Sementara itu, Abang Johari berkata Kolej Universiti i-CATS yang merupakan institusi pendidikan teknikal tinggi milik kerajaan Sarawak akan memulakan program Latihan penyelenggaraan kenderaan hidrogen dan elektrik di kampus barunya kelak.

Menurutnya kampus baru itu akan dibangunkan di sebuah kawasan seluas 81 hektar di Matang yang bakal dilengkapi peralatan teknologi terkini bagi membolehkan pelajar menjalani kursus terbaru tersebut.

“(Penyelenggaraan kenderaan hidrogen dan EV) ini adalah kursus kejuruteraan baharu dan pihak universiti sedang mengkaji model yang sesuai. Mungkin mereka perlu merujuk dengan pihak yang terlibat dalam bidang ini dari Jerman yang ada mempunyai kursus tersebut,” katanya.

-- BERNAMA