SARAWAK SKILLS, I-CATS MAMPU PERBANYAK LATIHAN TEKNOLOGI HIJAU - ABANG JOHARI

Sarawak Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg (File pix)
08/08/2023 01:32 PM

KUCHING, 8 Ogos (Bernama) -- Sarawak Skills dan Kolej Universiti i-CATS, dua institusi pendidikan teknikal milik kerajaan negeri mampu memperbanyakkan program latihan kemahiran hijau untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam bidang berkenaan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Sarawak Skills & Kolej Universiti i-CATS ke-25 hari ini berkata negeri itu pada masa ini bergerak aktif dalam pembangunan teknologi hijau dan sumber tenaga alternatif yang boleh diperbaharui.

“Kita (Kerajaan Sarawak) melaksanakan dasar ke arah pemeliharaan alam sekitar dengan beralih kepada tenaga hijau yang sifar karbon, malah negeri ini menjadi peneraju pembangunan ekosistem dan penjanaan hidrogen hijau di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pembangunan di negeri itu bukan sekadar untuk meningkatkan ekonomi dan pendapatan isi rumah tetapi turut melibatkan pemeliharaan alam sekitar.

“Sarawak akan membangun dengan lebih lestari berdasarkan teknologi ekonomi hijau,” katanya.

Dalam majlis itu, Abang Johari yang juga Canselor Kolej Universiti i-CATS mengumumkan akan membangunkan kampus baharu kolej berkenaan dengan peralatan teknologi bagi melahirkan lebih ramai graduan berkemahiran dalam sains gunaan.

Beliau berkata kerajaan Sarawak juga akan menambah dermasiswa dan biasiswa kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran di Kolej Universiti i-CATS dan institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.

“Kita akan mengembangkan kemudahan (di Kolej Universiti) i-CATS supaya ia setanding dengan universiti lain di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Sarawak Skills dan Pro-Canselor Kolej Universiti i-CATS Tan Sri Abdul Aziz Husain berkata kolej universiti itu sedang giat merangka program peringkat ijazah sarjana dan kedoktoran baharu selaras dengan hasrat untuk mencapai status universiti penuh dalam masa terdekat.

Beliau berkata Sarawak Skills pula dalam perancangan membangunkan Kolej Latihan Automotif Lanjutan di Demak Laut di sini dan Pusat Latihan Automotif di Sibu.

-- BERNAMA