TAPAK PELUPUSAN SAMPAH SEMAKIN SESAK, PENDUDUK SIBU DIMINTA TINGKATKAN KITAR SEMULA

05/08/2023 07:12 PM

SIBU, 5 Ogos (Bernama) -- Penduduk di bandar ini diminta meningkatkan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian mereka sebagai langkah untuk mengurangkan masalah berkaitan tapak pelupusan sampah yang dihadapi Majlis Perbandaran Sibu (MPS).

Pengerusi MPS Clarence Ting berkata tapak pelupusan sedia ada untuk bandar ini yang digunakan sejak 2015 sudah tidak mampu lagi untuk menampung jumlah sampah yang dibuang setiap hari, manakala tapak pelupusan baharu pula hanya akan siap pada tahun depan.

“Sepatutnya tapak pelupusan yang sedia ada mampu menampung keperluan sehingga tahun 2025, namun jumlah penduduk di Sibu telah mengalami peningkatan (di luar jangkaan awal) dan ini turut mengakibatkan penghasilan sampah juga meningkat,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Peraduan Melukis dan Mewarna sempena Hari Cintai Bumi di sini, hari ini, beliau berkata Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM14 juta untuk memulakan projek tapak pelupusan baru sampah domestik itu pada 2021.

-- BERNAMA