KPWKM RANCANG PERBAHARUI PROGRAM WANITA BANGKIT - NANCY

Datuk Seri Nancy Shukri
05/08/2023 02:18 PM

SEBUYAU (Sarawak), 5 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memperluaskan inisiatif di bawah Program Wanita Bangkit dengan mengetengahkan produk keusahawanan kepada peserta program berkenaan.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata menerusi pembaharuan itu, ia dapat memberi peluang perniagaan kepada kaum wanita, sekali gus memastikan golongan itu keluar daripada kepompong kemiskinan serta tidak lagi bergantung harap pada bantuan kerajaan. 

“Kita akan adakan Karnival Wanita Bangkit yang bakal berlangsung pada hujung tahun ini supaya ada pembaharuan kepada program ini. Kita tidak mahu menghulurkan bantuan dalam bentuk wang tunai sahaja,” katanya dalam sidang media selepas Program Wanita Bangkit@KPWKM di sini, hari ini. 

Menurutnya menerusi karnival keusahawanan itu, peserta dapat meningkatkan pendapatan sedia ada dengan memilih produk baharu yang boleh diniagakan. 

Beliau berkata 6,411 peserta di seluruh Malaysia telah mendapat manfaat daripada program Wanita Bangkit, setakat Januari hingga kini. 

“Di Sarawak sahaja 4,303 peserta melibatkan peruntukan kira-kira RM2.2 juta,” katanya sambil menambah program itu akan turut diadakan di kawasan Siburan dan Limbang. 

Sementara itu, menyentuh perkembangan semasa kes dera membabitkan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di Ipoh beberapa hari lepas, Nancy berkata kanak-kanak itu kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Sekarang ini beliau dalam jagaan kita, tetapi bukan bermakna kita akan terus jaga. Mungkin ada orang yang layak dan sesuai terutamanya yang daripada ahli keluarga mangsa nanti,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata JKM akan melakukan penilaian terlebih dahulu untuk memastikan penjaga itu berkemampuan untuk menjaga kanak-kanak terbabit, bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga emosi. 

Dalam kejadian Rabu lepas, polis menahan seorang lelaki dan wanita berusia 25 dan 23 tahun selepas menyelamatkan seorang kanak-kanak empat tahun yang dipercayai mangsa dera ibu serta teman lelaki ibunya itu.

Kes itu terbongkar apabila kanak-kanak berkenaan dikatakan merayu makanan daripada orang ramai di sebalik jeriji berkunci di rumahnya.

-- BERNAMA