PEKERJA SWASTA RUGI RM1.2 JUTA DIPERDAYA TAWARAN KERJA TIDAK WUJUD 

Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri
26/07/2023 12:30 PM

KUCHING, 26 Julai (Bernama) -- Seorang pekerja swasta kerugian RM1.2 juta selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian yang tidak wujud.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata polis menerima laporan kejadian daripada mangsa iaitu seorang lelaki berusia 30-an yang mendakwa telah ditawarkan kerja sambilan secara dalam talian oleh seorang wanita menerusi satu aplikasi pada 14 Mei lepas.

Beliau berkata mangsa telah dimaklumkan akan mendapat pulangan dan komisen jika barangan yang dijual menerusi satu laman web berjaya dijual.

“Mangsa telah membuat 27 transaksi pembayaran ke tujuh akaun bank berbeza antara 15 Mei hingga 13 Julai yang melibatkan kerugian sebanyak RM1.2 juta.

“Sehingga kini, mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM20,000 sahaja. Mangsa menyedari ditipu apabila tidak lagi mendapat wang pulangan komisen yang dijanjikan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azman sehubungan itu menasihatkan masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan sesuatu tawaran kerja melalui media sosial yang menawarkan gaji lumayan. 

-- BERNAMA