SARAWAK JANGKA IMPAK EKONOMI RM24.6 JUTA DARIPADA PENGANJURAN ICTMM 2024

18/07/2023 12:48 PM

KUCHING, 18 Julai (Bernama) -- Sarawak menjangka mencapai jumlah impak ekonomi RM24.6 juta menerusi penganjuran Kongres Antarabangsa Perubatan Tropika dan Malaria (ICTMM) 2024, yang akan diadakan mulai 19 hingga 23 Sept tahun depan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Business Event Sarawak (BE Sarawak) berkata daripada jumlah itu, RM13.4 juta akan diperoleh daripada perbelanjaan langsung perwakilan kongres, dan acara itu dijangka mewujudkan 1,952 pekerjaan melalui penganjuran acara berkenaan.

“Sebagai legasi modal Malaysia dan Borneo untuk acara perniagaan, kami bekerjasama rapat dengan jawatankuasa kongres untuk membantu mencapai matlamat yang diingini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif BE Sarawak, Amelia Roziman.

Beliau berkata industri acara perniagaan Sarawak meletakkan nilai tinggi pada kerjasama dan berharap penganjuran ICTMM akan memacu kemajuan dalam industri perubatan tropika Malaysia dan Asia.

Selain itu, ICTMM 2024 akan membolehkan negeri ini terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab terkemuka di Malaysia untuk memajukan perubatan kesihatan awam selain menandakan kemunculan sulung negara sebagai hos untuk salah satu kongres terkemuka dunia dalam perubatan tropika dan Malaria.

Dianjurkan bersama oleh Persekutuan Antarabangsa Perubatan Tropika dan Malaria dan Persatuan Parasitologi dan Perubatan Tropika Malaysia (MSPTM), kongres itu akan diadakan serentak dengan Persidangan MSPTM 2024 dan Kongres ASEAN ke-10 mengenai Perubatan Tropika dan Parasitologi.

Bertemakan “Global Responses and Interdisciplinary Research Towards Eliminating Tropical Diseases”, ICTMM 2024 dijangka menarik lebih 2,000 peserta antarabangsa.

Maklumat lanjut mengenai kongres boleh didapati dengan melayari laman web https://ictmm2024.org/  atau melalui e-mel secretariat@ictmm2024.org.

-- BERNAMA