USAHAWAN DISARAN BEKERJASAMA PUPUK EKOSISTEM PEMULA NIAGA YANG BERKEMBANG MAJU - FADILLAH

15/07/2023 04:07 PM

KUCHING, 15 Julai (Bernama) -- Komuniti keusahawanan mesti bersama-sama berganding bahu memupuk ekosistem pemula niaga yang berkembang maju di Malaysia, serta mengenal pasti jurang dan mencari penyelesaian kolaboratif dalam memacu negara ke hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata kerjasama dalam komuniti akan mewujudkan masyarakat yang inovatif dan kreatif di kalangan rakyat Malaysia, sekali gus dapat meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat dan memacu pertumbuhan negara.

“Secara global, industri pemula niaga telah mempelopori beberapa teknologi yang paling inovatif, mewujudkan lebih banyak pekerjaan berbanding perniagaan tradisional. Tatkala kita mengemudi era Revolusi Perindustrian Keempat, nilai dan faedah industri pemula niaga tidak dapat dinafikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Shell LiveWIRE Malaysia 2022 di sini, hari ini.

Majlis itu menyaksikan lima syarikat pemula niaga dinamakan sebagai pemenang kebangsaan iaitu Satok Bridge Area Consulting Engineers Sdn Bhd, BeeBag, manekNya, Qarbotech dan Hong Xin Food Sdn Bhd.

Masing-masing menerima dana permulaan sebanyak RM30,000, selain peluang untuk berhubung dengan ekosistem LiveWIRE global serta berkongsi pengetahuan mereka dengan usahawan di seluruh dunia, sambil berpeluang bersaing dalam anugerah tahunan 10 Inovator Teratas Global Shell.

Satok Bridge Area Consulting Engineers, satu-satunya pemenang dari Sarawak menerima hadiah wang tunai tambahan RM20,000 daripada Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) sebagai motivasi untuk menyemarakkan lebih banyak penyertaan dari negeri ini.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak yang juga Pengerusi TEGAS Datuk Len Talif Salleh dan Pengerusi Shell Malaysia Siti Hurrairah Sulaiman turut hadir pada majlis itu.

-- BERNAMA