SARAWAK PADA LANDASAN TEPAT JADI PENERAJU PELANCONGAN MAMPAN

15/07/2023 12:07 AM

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Sarawak berada di landasan yang tepat menjadi peneraju industri pelancongan mampan dan destinasi ekopelancongan di rantau Asia Tenggara berikutan respons yang positif daripada pemain industri.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Sharzede Salleh Askor, berkata Sarawak telah menerima kedatangan lebih 1.9 juta pelancong pada enam bulan pertama tahun ini dan optimis untuk mencapai sasaran ketibaan tiga juta pelancong untuk tahun ini.

Katanya, perangkaan itu jelas menunjukkan strategi yang dirancang STB dalam menarik pelancong termasuk berkenaan pelancongan mampan dan pelncongan bertanggungjawab berhasil, sekali gus akan memastikan industri pelancongan Sarawak cepat kembali pulih pasca pandemik COVID-19. 

Sharzede Salleh Askor

“Industri pelancongan mampan ini bukan sahaja berkaitan alam sekitar tetapi juga meliputi warisan, budaya dan makanan yang akan memberi manfaat kepada generasi akan datang. 

“Jadi kita yakin terhadap strategi yang diambil kerana secara global pelancong dan pemegang taruh menuju ke arah itu (pelancongan mampan). Mereka sangat positif dan menyokong usaha kami selepas melihat kemajuan industri pelancongan dikaitkan dengan visi kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Malam Media ‘Yours Truly Sarawak’ anjuran STB, di sini, malam ini.

Sharzede berkata STB juga sentiasa bersedia dalam membantu kerajaan negeri mencapai hasrat menjadikan Sarawak sebagai destinasi penganjuran konsert di Malaysia.

“Selagi ia mendorong kedatangan pelancong ke Sarawak serta memberi manfaat sosioekonomi kepada penduduk, kami terbuka untuk mengalu-alukan penganjuran konsert yang baik,” katanya.

-- BERNAMA