SARAWAK SUMBANG US$100,000 KEPADA FIANZ

Jiwa Bakti fb
04/07/2023 10:39 PM

KUCHING, 27 Jun (Bernama) -- Sarawak menyumbang US$100,000 kepada Persekutuan Persatuan Islam New Zealand (FIANZ) untuk projek dan programnya.

Sumbangan itu diumumkan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa majlis makan malam anjuran FIANZ di sebuah hotel di Auckland, New Zealand pada Isnin.

Pejabat Premier Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan majlis makan malam itu diadakan bersempena dengan lawatan dua hari Abang Johari ke negara itu sebagai Presiden Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP).

Kunjungan itu merupakan lawatan rasmi pertama Abang Johari ke negara anggota RISEAP sejak dipilih sebagai presiden majlis dakwah itu pada Januari lepas.

Ketika berucap pada majlis itu, Abang Johari berkata beliau memilih New Zealand sebagai persinggahan pertamanya dalam siri lawatan ke negara anggota berikutan hubungan Sarawak yang telah lama terjalin dengan negara Kiwi itu melalui pelan biasiswa Rancangan Colombo Komanwel pada 1950-an.

Beliau berkata pelajar Sarawak pernah dihantar menyambung pengajian ke universiti di New Zealand di bawah program biasiswa itu yang kemudian ada antara mereka yang dilantik ke jawatan tinggi sebagai menteri negeri dan Persekutuan.

“Justeru, pemerolehan dan perkongsian ilmu antara New Zealand dengan Sarawak bukan sesuatu yang baharu dan perlu disemarakkan semula pada era masa kini menerusi platform RISEAP,” katanya.

RISEAP, kini dengan 24 negara anggota ditubuhkan pada 1980 dengan bekas Perdana Menteri Malaysia pertama Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj sebagai presidennya, terutama untuk menyatukan negara minoriti Islam di Asia Timur dan Pasifik mengejar cita-cita kolektif dalam pengembangan dan perjuangan Islam.

Premier dan delegasinya akan menamatkan lawatan dua hari pada Rabu.

-- BERNAMA