ABANG JOHARI KE NEW ZEALAND UNTUK LAWATAN RASMI PERTAMA PRESIDEN RISEAP  

Tan Sri Abang Johari Tun Openg
24/06/2023 06:36 PM

KUCHING, 24 Jun (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan mengadakan lawatan rasmi sebagai Presiden Majlis Dakwah Islamiah Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) ke New Zealand bermula Ahad ini.

Pejabat Premier Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, lawatan selama dua hari ke negara anggota itu merupakan yang pertama sejak pemilihan beliau sebagai Presiden RISEAP awal tahun ini.

Abang Johari dan delegasi dijadual tiba di Auckland sebelum tengah malam Ahad.

“Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland akan disambut ahli Persekutuan Persatuan Islam New Zealand (FIANZ) yang diketuai Presidennya Ibrar Sheikh.

“Pada pagi Isnin, premier dijadualkan bertemu wakil dari Australia, Fiji dan Papua New Guinea. Kemudian, beliau akan berjumpa imam dan pegawai FIANZ di masjid Al Rahman di South Auckland sebelum menyertai majlis menanam pokok dan melawat masjid pada tengah hari,” menurut kenyataan itu.

RISEAP yang kini mempunyai 24 negara anggota, telah ditubuhkan pada 11 Nov 1980 dengan matlamat untuk menyatukan negara-negara minoriti Islam di Asia Timur dan Pasifik.

Perdana Menteri pertama Malaysia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj merupakan presiden pertama RISEAP.

-- BERNAMA