POLIS SARAWAK TUMPAS "KUMPULAN BABY" AKTIF JENAYAH SAMUN WARGA EMAS

16/06/2023 01:10 PM

KUCHING, 16 Jun (Bernama) -- Polis Sarawak menumpaskan sekumpulan penyamun dan peragut dikenali sebagai “Kumpulan Baby” yang aktif memburu warga emas sebagai mangsa di sekitar Kuching, Padawan dan Kota Samarahan sejak tiga bulan lepas. 

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata kumpulan yang diketuai seorang lelaki yang menggunakan nama samaran “Baby” itu terdiri daripada tujuh warga tempatan dengan lingkungan umur antara 23 hingga 30 tahun. 

“Kumpulan ini terdiri daripada dua wanita serta lima lelaki dan menyasarkan warga emas yang keluar berjalan pada awal pagi dengan mengacukan senjata tajam kepada mangsa, namun tiada yang mendatangkan kecederaan,” katanya dalam sidang media mengenai tangkapan itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuching di sini hari ini. 

Beliau berkata menerusi tangkapan berkenaan, polis telah menyelesaikan sekurang-kurangnya 13 kes samun dan ragut, dua kes curi dalam bangunan serta satu kes curi motosikal. 

Turut dirampas, sebuah motosikal yang dilaporkan hilang serta sembilan telefon bimbit, empat kad bank dan 11 senjata tajam dengan nilai kerugian sepanjang kegiatan melibatkan kira-kira RM42,000. 

Mohd Azman berkata siasatan lanjut masih dijalankan sekiranya terdapat ahli kumpulan lain yang belum ditahan dan meneliti kes seumpama yang menggunakan modus operandi sama. 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, 380 Kanun Keseksaan dan 379A Kanun Keseksaan. Kesemua suspek ditahan reman tujuh hari yang tamat esok,” katanya dan menambah suspek turut didapati positif dadah serta mempunyai rekod lampau kes dadah dan jenayah samun.

-- BERNAMA