SARAWAK CADANG AMBIL ALIH MASWINGS JADI SYARIKAT PENERBANGAN BUTIK - ABANG JOHARI

Tan Sri Abang Johari Tun Openg
15/06/2023 03:18 PM

KUCHING, 15 Jun (Bernama) -- Sarawak secara prinsipnya bersetuju untuk mengambil alih MASWings, anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines Berhad (MAB), untuk dijenamakan semula sebagai syarikat penerbangan butik milik kerajaan negeri, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata MASWings yang kini hanya beroperasi di kawasan pedalaman wilayah Borneo akan diberikan nafas baharu dengan penambahan destinasi penerbangan serta pesawatnya bakal menggunakan bahan api penerbangan mampan (SAF).  

“Kita mahu penambahan penerbangan domestik khususnya ke Kuala Lumpur dan antarabangsa seperti Singapura. Nama (syarikat penerbangan yang dijenamakan semula ini) adalah perkara kedua. Namun, apa yang penting, objektif kita adalah untuk mengurangkan harga (tiket) ,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir majlis penandatangan Memorandum Persefahaman antara syarikat berkaitan kerajaan negeri Sarawak, Hornbill Skyways Sdn Bhd dan kontraktor pengatur petroleum.

Tanpa mendedahkan jangka masa proses bagi penjenamaan semula MASWings, beliau berkata langkah untuk mengambil alih syarikat itu telah dicadangkan kepada kerajaan Persekutuan baru-baru ini. 

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah pada Isnin memberitahu Dewan Rakyat Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dijangka mengadakan mesyuarat bersama kerajaan Sarawak bagi membincangkan urusan berkaitan syarikat pernerbangan butik di negeri itu. 

Pada 17 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju secara prinsipnya dengan cadangan kerajaan negeri Sarawak untuk menubuhkan sebuah syarikat penerbangan butik.

Beliau berkata penubuhan syarikat penerbangan itu boleh meredakan keadaan kadar tambang yang mahal khususnya di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA