KUPIKUPI FM SARAWAK MAMPU JADI EJEN PERPADUAN, PROMOSI IDENTITI BORNEO

09/06/2023 03:17 PM

KUCHING, 9 Jun (Bernama) -- Inti pati serta segmen bagi stesen radio baharu di negeri ini, KUPIKUPI FM Sarawak, mampu menjadi medium perpaduan dalam mengetengahkan kepelbagaian budaya, pakaian serta bahasa di Bumi Kenyalang. 

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan berkata stesen yang menggunakan slogan bahasa Melayu Sarawak ‘Sama Dirik Pok’, yang bermaksud ‘Sesama Kita’ itu memainkan peranan mempromosikan industri kreatif di negeri itu dan berkongsi sumbangan mereka ke seluruh negara. 

“Sebagai rakyat Sarawak, saya bersetuju perpaduan adalah formula kemenangan untuk memecahkan perbezaan dalam kalangan kita. Kepada rakan penyampai, anda juga perlu menjaga sensitiviti masyarakat kita yang berbilang kaum semasa bersiaran langsung,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran stesen radio itu, hari ini. 

Beliau berkata pelancaran stesen radio berkenaan yang turut bersiaran di Sabah sebagai KUPIKUPI FM Sabah sememangnya menjadi kebanggaan kepada warga Borneo, khususnya kepada golongan anak muda.

Bersiaran di frekuensi 92.5FM, antara segmen yang ditonjolkan di KUPIKUPI FM Sarawak termasuk ‘Kupi Jem’, ‘Kacak Tipot’, ‘Jungo Krem’ dan ‘Sekoh Pagi’ bersama enam penyampai radio iaitu Lan Perey, Leez Zwita, Ezmir Sadriq, Jalee, Wena dan Maria.

Stesen radio itu menyajikan pendengar dengan cetusan inspirasi dan sumbangan artis atau pemuzik Sarawak, selain berkongsi berita-berita terkini dan memutarkan lagu muzik tempatan. 

-- BERNAMA