PEMILIHAN ‘SEGULAI SEJALAI’ PENGIKTIRAFAN TERHADAP BAHASA IBAN 

08/06/2023 02:52 PM

KUCHING, 8 Jun (Bernama) -- Pemilihan frasa bahasa Iban di Sarawak ‘Segulai Sejalai’ sebagai cogan kata perpaduan negara merupakan satu pengiktirafan terhadap bahasa suku kaum itu.

Profesor Sains Politik Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Datuk Dr Jayum Jawan berkata frasa yang membawa maksud ‘bersama melangkah ke hadapan’ itu amat bersesuaian dalam membawa agenda perpaduan negara.

Beliau berkata pemilihan frasa itu juga menunjukkan keterbukaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengangkat bahasa yang mewakili kaum atau etnik minoriti lain menjadi slogan sesuatu program atau agenda di peringkat Persekutuan.

“Pemilihan frasa ‘Segulai Sejalai’ dapat menunjukkan kepelbagaian budaya serta bahasa yang mencerminkan identiti sebenar Malaysia.

“Saya yakin Perdana Menteri memetik frasa itu dalam konteks mengajak semua bersama maju ke hadapan demi memadanikan Malaysia yang pelbagai etnik selaras dengan prinsip Malaysia Madani,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Jayum berkata pengiktirafan kepada bahasa Iban juga lebih bermakna sekiranya satu Fakulti Bahasa Iban dapat ditubuhkan di sebuah universiti penyelidikan awam negara.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata ‘Segulai Sejalai’, frasa bahasa Iban di Sarawak akan digunakan sebagai cogan kata perpaduan untuk seluruh negara.

Katanya beliau tertarik dengan frasa berkenaan yang menjadi motto dalam majlis sambutan Gawai Dayak peringkat kebangsaan yang dihadirinya di sini.

"Maknanya mana-mana saya pergi, bila berbicara soal kesatuan, perpaduan dan bekerjasama, perkuatkan, maka saya akan sebut Segulai Sejalai," kata Anwar ketika berucap di majlis itu. 

-- BERNAMA