GEES 2023 PAMER KOMITMEN SARAWAK DALAM BIDANG TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI

Datuk Roland Sagah Wee Inn
06/06/2023 04:50 PM

KUCHING, 6 Jun (Bernama) -- Simposium dan Pameran Tenaga Hijau Sarawak (GEES) dan Solar Tested 2023 akan berlangsung mulai esok hingga Khamis di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di sini.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata objektif acara itu adalah bagi mempamer dan menjunjung komitmen Sarawak untuk menjadi peneraju dalam tenaga boleh diperbaharui di Malaysia, di samping mewujudkan masa depan yang lebih hijau dan mapan bagi penduduk.

“Sesi di GEES akan membawa para peserta mendalami teknologi hijau, alam sekitar, sosial, dan pematuhan serta rangka kerja kawal selia dan pematuhan, perniagaan rendah karbon, dan pembiayaan hijau serta mekanisma perdagangan pelepasan karbon.

"Ini akan membantu pertubuhan anda dalam mencapai aspirasi untuk masa depan rendah karbon yang mapan,” katanya dalam persidangan media di sini hari ini.

Sagah berkata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan merasmikan acara dua hari itu, yang dijangka akan dihadiri oleh 600 peserta yang terdiri daripada perwakilian daripada Semenanjung Malaysia, Kalimantan, Indonesia dan Sabah.

Simposium dan Pemeran ini juga akan memberikan peluang kepada individu untuk melawat lebih sembilan reruai pameran teknologi hijau di CENTEXS,” katanya.

Dalam perkembangan lain Sagah berkata CENTEXS menawarkan empat program dalam bidang Tenaga Hijau dan Kemampanan Alam Sekitar.

Beliau berkata empat program latihan itu ialah Sijil dalam Smart Solar Photovoltaic (Pensijilan oleh Huawei dan Solarvest), Sijil Mobiliti dan Penyimpanan Hijau (Pensijilan oleh Huawei dan Solarvest), Sijil Hidrogen Hijau (Pensijilan oleh Solarvest) dan Sijil Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) untuk Perusahaan (Pensijilan oleh Intertek dan Ethos).

-- BERNAMA