SARAWAK CATAT PENDAPATAN RM5 BILION SUKU PERTAMA 2023

Sarawak Premier, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
31/05/2023 05:04 PM

KUCHING, 31 Mei (Bernama) -- Sarawak mencatatkan pendapatan berjumlah RM5 bilion bagi suku pertama tahun ini, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata suasana politik Sarawak yang stabil dengan rakyat bersatu membolehkan kerajaan negeri mencapai jumlah pendapatan itu dan memberi tumpuan terhadap usaha mempertingkatkan lagi ekonomi negeri.

Abang Johari juga yakin masa hadapan generasi muda Sarawak akan lebih cerah dengan program pembangunan ‘ekonomi baharu’ berasaskan teknologi, data dan inovasi.

“Umpamanya, Sarawak sudah mempunyai sedikit keupayaan menghasilkan gas hidrogen yang digunakan beberapa buah bas dan kenderaan dikuasakan oleh sel bahan api hidrogen.

“Di samping itu, Sarawak juga terbukti berupaya mengeluarkan minyak bersifat hijau bagi keperluan industri penerbangan daripada alga atau lumut,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Gawai Dayak 2023.

Pada tahun lepas, pendapatan Sarawak meningkat kepada RM12 bilion berbanding RM7.62 bilion pada 2021.

Abang Johari berkata sempena musim perayaan ini beliau berharap agar mereka yang meraikan dapat berbelanja secara berhemah.

“Pendapatan daripada gaji atau hasil yang lumayan daripada aktiviti pertanian juga boleh disimpan untuk tujuan jangka panjang seperti pelaburan di saham-saham amanah yang dijamin kerajaan,” katanya. 

Sementara itu, Abang Johari berkata kaum Dayak mempunyai aset besar dalam bentuk pemilikan tanah yang harus diberi keupayaan untuk menjana pendapatan melalui pelbagai cara.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus berusaha menyediakan kemudahan infrastruktur bagi menyokong usaha pembangunan di kawasan luar bandar.

“Usaha ini melibatkan perbelanjaan besar, namun saya yakin dengan pendapatan negeri yang semakin bertambah ia dapat dilakukan secara berperingkat-peringkat melalui beberapa agensi pembangunan setempat yang telah ditubuhkan oleh kerajaan negeri,” katanya. 

-- BERNAMA