OCBC AKAN PERKUKUH KOMITMEN BANTU PERTUMBUHAN EKONOMI JANGKA PANJANG SARAWAK

26/05/2023 03:58 PM

KUCHING, 26 Mei (Bernama) -- OCBC Bank (Malaysia) Bhd mengukuhkan komitmennya untuk membantu pertumbuhan ekonomi jangka panjang Sarawak dan memenuhi agenda kelestariannya. 

OCBC Malaysia berkata bank itu akan memanfaatkan kehadiran serantaunya yang kukuh untuk bekerjasama dengan Sarawak dalam memudahkan aliran masuk perdagangan dan pelaburan daripada pelabur yang berpotensi di luar Malaysia, serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri. 

“Sarawak kekal sebagai bahagian penting dalam teras strategik OCBC Malaysia dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, yang merupakan pasaran utama penting kepada OCBC Group,”  katanya dalam satu kenyataan. 

Terdahulu, OCBC Malaysia, yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Chor Sen, mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia.

Semasa kunjungan itu, Tan menyatakan komitmen bank tersebut terhadap inisiatif Strategi Pembangunan 2030 (PCDS 2030) Sarawak pasca COVID-19 bagi mencapai kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

“Kami amat berbesar hati dengan peluang untuk meneroka bersama-sama Premier Sarawak dan para pegawai kanannya bagaimana kami boleh terus memainkan peranan kami sebagai rakan kewangan utama untuk memudahkan dan menyokong pelan transformasi beliau (premier) di bawah PCDS 2030,” katanya.

-- BERNAMA