PELABUHAN SARAWAK CATAT KENAIKAN JUMLAH KENDALIAN KARGO SEBANYAK 22.95 JUTA TAN PADA 2022

Sarawak Deputy Premier and Minister of Infrastructure and Port Development, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS fb
24/05/2023 04:51 PM

KUCHING, 24 Mei (Bernama) -- Pelabuhan Sarawak mencatatkan jumlah kendalian kargo sebanyak 22.95 juta tan tahun lepas, meningkat 11.4 peratus berbanding 20.61 juta tan pada 2021, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Negeri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata Pelabuhan Kuching mendahului dengan mencatatkan 9.87 juta tan pada 2022, diikuti Pelabuhan Samalaju (6.73 juta tan), Pelabuhan Miri (3.21 juta tan), Pelabuhan Tanjung Manis (1.65 juta tan) dan Pelabuhan Rajang (1.49 juta tan).

“Peningkatan keseluruhan dalam pengendalian kargo adalah petunjuk bahawa kita berada di landasan yang betul dalam pemulihan dan pertumbuhan ekonomi ke arah menjadi wilayah maju menjelang 2030,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Uggah, yang juga Timbalan Premier Sarawak, berkata kelima-lima pelabuhan itu akan menjalani penstrukturan semula supaya pentadbiran dan operasinya diletakkan di bawah entiti tunggal baharu yang dikenali sebagai Lembaga Pelabuhan Sarawak.

“Lembaga Pelabuhan Sarawak akan ditubuhkan untuk mengawal selia, menyusun dan menyelaras pengurusan, operasi, perancangan dan pembangunan semua pelabuhan bagi memastikan setiap pelabuhan memainkan peranan khusus dalam mempromosikan perdagangan dan perniagaan,” katanya.

Mengenai hasrat kerajaan Sarawak untuk mengambil alih Pelabuhan Bintulu daripada kerajaan Persekutuan, Uggah berkata rundingan antara kedua-dua pihak masih diteruskan.

“Dengan penyusunan semula pelabuhan negeri, yang akan berada di bawah satu pihak berkuasa kawal selia, Pelabuhan Bintulu akan menjadi salah satu kluster pelabuhan negeri yang pembangunan dan pertumbuhan masa depannya akan diselaraskan dengan pelabuhan lain di Sarawak,” katanya.

-- BERNAMA