KERAJAAN NEGERI SARAWAK TERIMA PERMINTAAN TINGGI PERKENAL SEMULA PENERBANGAN TERUS KE CHINA

Datuk Seri Lee Kim Shin
09/05/2023 04:00 PM

KUCHING, 9 Mei (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan Sarawak menerima permintaan tinggi untuk memperkenalkan semula perkhidmatan penerbangan terus antara negeri itu dan China.  

Menterinya Datuk Seri Lee Kim Shin berkata sebelum ini Sarawak pernah menawarkampenerbangan terus dari Kuching ke Shenzhen, China, sebelum dihentikan selepas setahun beroperasi.  

“Sudah pastinya kami mengalu-alukan penerbangan terus yang masuk ke Sarawak, dari China.

“Ramai pemegang kepentingan perniagaan, pelancongan dan logistik juga meminta perkhidmatan penerbangan Kuching-Shenzhen-Kuching diperkenalkan semula serta meminta kerajaan negeri menimbang memperkenalkan penerbangan terus baharu yang berpotensi antara Sarawak dan China,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Lee berkata hubungan udara secara terus antara China dan Sarawak akan memainkan peranan besar dalam merangsang pertumbuhan sektor pelancongan, perdagangan, pelaburan dan logistik negeri itu. 

Semalam, beliau menerima kunjungan hormat delegasi daripada Aviation International Construction and Investment Co Ltd dan China Aviation Investment Group Co Ltd dari China di pejabatnya.

Lee berkata tujuan utama kunjungan tersebut adalah untuk membincangkan dan menambah baik kesalinghubungan antara China dan Sarawak serta peluang pelaburan lain di negeri ini.

“Peserta delegasi diberikan taklimat dan maklumat mengenai Sarawak termasuk kemudahan dan sokongan untuk menampung ketibaan dari China bagi tujuan pelancongan, perniagaan dan logistik,” katanya. 

 -- BERNAMA