KKDW PERUNTUK RM917 JUTA UNTUK 241 PROJEK DI SARAWAK

Datuk Rubiah Wang
04/05/2023 03:19 PM

KOTA SAMARAHAN, 4 Mei (Bernama) – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM917 juta tahun ini untuk melaksanakan 241 projek di Sarawak.

Timbalan menteri berkenaan Datuk Rubiah Wang berkata daripada keseluruhan jumlah projek itu, 38 merupakan projek baharu sementara 203 lagi adalah projek sambungan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 178 projek di peringkat prapelaksanaan, 41 projek pula d peringkat pelaksanaan manakala selebihnya di peringkat pascapelaksanaan dan dalam perhatian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berkata antara program atau projek yang menjadi fokus termasuk 14 projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dengan nilai peruntukan RM170.5 juta, 76 projek jalan luar bandar (RM169 juta) serta 56 projek bekalan air luar bandar (RM136 juta).

"Kementerian turut melaksanakan projek jambatan luar bandar (30 projek), jalan perhubungan desa (dua projek), ameniti sosial (satu projek) dan projek serta program yang dilaksanakan oleh agensi-agensi di bawah KKDW," tambahnya.

-- BERNAMA