KUASA LULUS PROJEK BAWAH RM50 JUTA SEGERAKAN BAIK PULIH SEKOLAH, KLINIK DAIF DI SARAWAK

05/04/2023 01:54 PM

KUCHING, 5 April (Bernama) -- Kuasa meluluskan projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta yang ada pada Sarawak mampu menyegerakan usaha membaik pulih sekolah dan klinik daif di negeri ini.

Setiausaha Persekutuan Sarawak Ahmad Nadzri Mohd Hassan berkata perkara itu harus dimanfaatkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan yang bertanggungjawab dalam perkara itu.

“Usaha membaik pulih klinik daif juga boleh gunakan peruntukan sama RM50 juta itu, ini harus diberi penekanan segera oleh dua kementerian terlibat termasuk Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Pada 4 Jan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kementerian Kewangan bersetuju supaya pelaksanaan projek dengan kos di bawah RM50 juta di Sabah dan Sarawak, diputuskan hampir sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan mematuhi peraturan kewangan.

Pada 26 Jan lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata Sarawak mempunyai sebanyak 568 sekolah daif di seluruh negeri itu.

-- BERNAMA